( l a i za h)


Langkah lesu Laizah bukan lagi metafora abstrak yang perlu didalami maksudnya. Gerak-gerinya mampu dibaca oleh manusia paling kompleks pemikiran tanpa lenggok fakta. Cukup literal yang dia memang, letih. Tubuh yang dimamah kehidupan saban hari itu longlai, seperti kelmarin dan tulat-tulatnya. Tangan halus Laizah memulas tombol pintu apartment, tiap desir dan decik dilaungi pintu itu bergema dalam kesunyian kelam malam, ditemani desing-desing lagaan kunci, bagaikan harmoni.

Detik lampu menerangi tiap ruang perabot, segala lipas dan tikus menyorok kelibut. Dibaling semua yang terpaut pada tangan ke atas sofa separa empuk, bagaikan seorang Taliban membuang bom-bom jangka yang terlekat di tubuh. Satu pembebasan dari tiap igauan yang bagai perasit sentiasa mengekori insang. Susur langkah ke dalam kamar, tersusun rapi segalanya. Dilucut pakaian bagai revalasi malam pertama kepada suami, bogel Laizah. Mencapai tuala putih krim ke bilik mandi. Air yang disapu ke tiap celah tubuh tak ubah macam terapi. Sabun yang digosok menanggal daki. Hanya bunyi shower jadi muzik latar bunyi rumah yang sunyi.

Usai dari urusan dalam bilik mandi yang diritualkan secara semi sedar, Laizah menyelak-nyelak pajamas dalam almari. Lama bersemayam memutuskan warna pajamas apa yang cocok dipakainya untuk mati.
Ya, untuk mati.
Disarung jasad dengan pajamas merah jambu terang, dikerling-kerling cermin disisi. Dia tak pernah alpa yang dia lawa. Bersujud sambil teraba tangan mencari tali yang dibeli dari kedai runcit Wee Chin di bawah katil. Berdiri atas kerusi. Diikat pangkal pada kipas siling. Dan simpulan bulat yang ditenunnya begitu kemas. Memori Laizah masih jelas teknik ikatan simpul bulat yang digurui semasa kem pengakap sekolah dulu. Tak pernah disangka ilmu itu amat berguna pada malam ini. Disarung kan ke batang leher jinjang Laizah yang indah itu.

Dia memejam mata bagai manusia baca mantra.
Tikus-tikus di celahan rumah curi intai saat bersejarah itu.
Cengkerik bagai berhenti bernyanyi.
Angin tersekat, tiap zarah kaku. Neon lampu terpana.

Kerusi ditendang.

Laizah terkejang menikmati tiap derih perih. Telinganya kian hilang mendengar. Matanya kian lihat dunia putih. Mulutnya berlipstikkan buih liur. Memaksa mengukir senyuman. Indera akal semakin hilang punca ditinggalkan udara. Paru-paru merajuk seribu bahasa. Tervakum roh Laizah keluar dari tiap rongga tubuh.

Cuma sebelum dia terbang pergi, bibir Laizah berbisik pada telinganya sendi,
“hari ini aku bebas daripada kau, Laizah.”

Seminggu selepas itu kejiranan mengadu terbau bangkai yang amat busuk, sehingga akhirnya polisi dan forensik menemui kujur mayat Laizah tergantung. Sambil menurunkan jasad itu, salah seorang polis berkata sendiri, “mujur kau ni anorexia.” 

Mata Laizah menjeling,
tapi tiada siapa yang sedar.

Sumber : [n]

1 comment:

miss bittersour shrimp said...

tenuk sgt lah tadi time nk post komen tetiba ada iklan mcm binawe. huh.
ok btw, entry ni aku paling suka. eh kau peduli ape kn? haha. k ciao