( mi r a )

     Aku masih ingat Mira, melambaikan tangan pada aku dari luar jendela kereta. Dia memang setia begitu setiap terik tengahari selepas kami pulang dari tadika. Mira, berdiri, kadang duduk, melambaikan tangan kepada aku. "Esok kite jumpe lagi eh?", Mira selalu pesan pada aku. Aku takkan pernah lupa senyum comel Mira, serta mata coklat Mira yang galak, ceria, tersimpan cahaya di dalamnya, tetapi penuh rahasia.

     Mira pandai mewarna, dalam kelas kami, aku rasa Mira budak paling pintar. Dia selalu jadi ikutan budak lain, dia selalu jadi perhatian. Aku masih ingat, dalam kelas membaca, Mira orang pertama yang mampu membaca. Berada dekat dengan Mira, dan dikenali budak lain sebagai kawan Mira, aku bangga. Mira selalu buat aku percaya, aku juga mampu dan mahu bijak macam dia. Aku masih ingat nama seorang guru tadika kami, nama dia Cikgu Maryam. Dia garang. Bila waktu makan, Cikgu Maryam akan paksa kami habiskan sayur. Kadang-kadang dia akan periksa tiap pinggan kami satu persatu lepas habis makan, untuk pastikan sayur kami habis. Siapa tak habis, dia akan hukum. Aku, benci sayur. Mahu lagi sawi. Semua budak pun benci sebenarnya. Ada satu pagi Cikgu Maryam periksa pinggan kami. Kami berbaris. Sayur aku tak habis, aku nak muntah paksa tekak telan sawi tu, aku takut bila giliran aku sampai. Cikgu Maryam garang. Mira berbaris belakang aku, tiba-tiba Mira ambil semua sayur dalam pinggan aku, dia makan. Aku terpinga. Aku tengok muka Mira tahan muntah, tapi lepas telan, dia senyum. Dia kata, "makan sayur nanti kuat macam Poppye lah! Hehe..". Mira selamatkan aku. Aku ingat lagi Mira. Kau memang baik hati. Kami semakin rapat, sampai mak dan abah aku perasan. Mereka perasan ada seorang budak yang selalu duduk sebelah aku dalam kelas, yang selalu jalan sama aku, yang lambai tangan pada aku tiap kali balik tadika. Dan mereka perasan nama Mira ada merata-rata dalam buku latihan dan buku mewarna aku. Sampai aku pernah tulis nama Mira pada dinding bilik dengan pensil warna Luna. Warna merah. 

     Hari biasa, budak-budak berlari-lari keluar dari kelas ke depan pintu pagar. Waktu pulang. Aku dan Mira pegang tangan lari bersama mereka dalam riang ketawa. Tapi hari tu, aku perasan, Mira tak seceria selalu. Aku lihat senyum wajah Mira tawar. Aku tak berani tanya. Kereta abah sampai. Aku kata pada Mira, aku kena pergi, lepaskan tangan. Tapi Mira genggam tangan aku lebih erat. Aku jadi gamam. Aku lihat mata Mira berkaca. Aku tanya, "kenapa ni Mira? Kite nak balik ni abah kite dah sampai.". Mira diam. Tiba-tiba Mira nangis. Aku jadi buntu. Fitrah lelaki, panik bila perempuan menangis. Aku pegang tangan Mira. Mira perlahan bisik pada aku, "awak.. nanti kite dah takde.. awak jangan lupe kite tau..". Manik di mata aku mulai ditarik bait graviti, tapi bening aku tahan sejantannya. Aku malu untuk menitiskan air mata. Walaupun aku sedar pada saat itu, aku sayangkan Mira. Mira seorang kawan yang istimewa. Aku seakan mahu lari dari situasi itu, "Mira.. nanti esok kite jumpe lagi eh. Abah kite dah sampai tu.. bye..!!". Aku tinggalkan Mira dengan sedu yang masih disembunyikan. Aku menghempas kan diri ke dalam van abah, abah bertanya kenapa Mira menangis, tapi aku diam tak menjawab.

Van abah mula bergerak, aku mengiringkan badan ke tingkap.
Aku dan Mira berbalas lambaian.
Aku tenung wajah Mira dalam-dalam.
Sehingga dia hilang dari pandangan...

Itu kali terkahir aku jumpa Mira.

Esok, dan hari-hari seterusnya aku di tadika, Mira tak pernah hadir lagi. Cikgu kata, Mira ada masalah keluarga. Dia terpaksa pindah jauh. Ada orang kata ke Kelantan, tapi aku tak pasti. 
Aku pernah curi dengar abah dan mak berbual, sebenarnya Mira ikut ibu nya pulang ke kampung. Ibu bapa Mira bercerai. Ibunya menang hak penjagaan Mira.

Aku tak rasa kalau hari ini aku jumpa Mira lagi, Mira masih ingat aku. 
Tapi aku mesti boleh ingat dia. Tiada satu pun tentang Mira yang aku boleh lupa.

Mira pernah tanya aku, nanti dah besar, mahu jadi apa? Aku jawab arkitek. Sebab aku pandai melukis masa tu.

Aku tanya Mira semula, nanti Mira dah besar, Mira mahu jadi apa?
Mira jawab tak tahu. 
Tapi dia kata dia nak jadi kuat macam ibu dia.

Mira,
aku tak lupa.

:)

No comments: